Guru, ibu bapa dan komuniti bergotong-royong jayakan Program Bubur Asyura
Foto : Guru dan ibu bapa berganding bahu mengacau bubur asyura.
Guru, ibu bapa dan komuniti bergotong-royong jayakan Program Bubur Asyura
KUALA TERENGGANU – Program Bubur Asyura anjuran Sekolah Kebangsaan Telok Pasu (SKTP), Manir berjaya menghimpunkan guru, ibu bapa, murid dan pemimpin masyarakat dalam semangat gotong-royong yang mengukuhkan perpaduan serta ukhuwah komuniti.
Program yang diadakan bersempena bulan Muharam itu bukan sahaja menghidupkan tradisi memasak bubur asyura, malah menjadi platform mempererat hubungan antara pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekali gus memperkukuh sokongan sosial kepada warga sekolah.

Mahmod Mat Ali (tengah) bersama-sama warga emas yang bergotong-royong memasak bubur lambuk.
Naib Yang Dipertua PIBG SKTP, Md Yasin Embong berkata, program berkenaan dicetuskan oleh Guru Besar SKTP, Shukri Mohamad sebagai usaha mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Menurutnya, program itu turut memberi peluang kepada warga sekolah menghayati keistimewaan bulan Muharam melalui amalan bersedekah dengan mengagihkan bubur asyura kepada murid dan penduduk sekitar.
“Hasil beberapa siri perbincangan, kami bersetuju menyediakan enam kawah bubur asyura secara bergotong-royong untuk diagihkan kepada lebih 700 penerima terdiri daripada warga sekolah, murid dan penduduk berhampiran.
“Penyediaan bahan mentah dan peralatan memasak diselaraskan oleh PIBG dengan kerjasama pengurusan masjid, manakala dana diperoleh menerusi sumbangan ibu bapa, individu prihatin dan penyumbang lain,” katanya ketika program berlangsung pada 2 Julai lalu.
Program itu turut diserikan dengan penyertaan murid yang membantu mengacau bubur asyura, manakala guru wanita menyediakan bekas makanan sebelum agihan dibuat kepada para penerima.
Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohd Naim Dahalan, yang bersama-sama menyertai aktiviti mengacau bubur asyura.
Md Yasin berkata, kejayaan program berkenaan memberi inspirasi kepada PIBG untuk merancang lebih banyak aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengukuhkan kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah.
Beliau berkata, Yang Dipertua PIBG, Rafim Salleh sentiasa menggalakkan penganjuran program yang dapat meningkatkan kefahaman ibu bapa terhadap peranan guru serta mengukuhkan kerjasama dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak.
“Apabila ibu bapa dan guru saling mengenali serta bekerjasama dalam aktiviti seperti ini, hubungan yang terjalin akan memberi manfaat besar kepada pembangunan sahsiah dan pendidikan murid,” katanya.-SAHIH.
