Habuk kayu jadi ’emas hitam’, graduan muzik tembusi pasaran dunia
Habuk kayu jadi ’emas hitam’, graduan muzik tembusi pasaran dunia
TEMERLOH : Siapa sangka habuk kayu yang selama ini dianggap bahan buangan mampu bertukar menjadi ’emas hitam’ bernilai tinggi sehingga menembusi pasaran Arab Saudi, Australia dan Jepun hasil sentuhan seorang graduan muzik yang sanggup meninggalkan kerjaya diminatinya demi menyambung legasi keluarga.
Pemilik kilang arang, Emily Lim Lay Yee, 28, berkata keputusan mengambil alih perusahaan yang diasaskan bapanya sejak 1998 dibuat ketika berusia 24 tahun selepas melihat potensi besar industri berkenaan, khususnya penghasilan arang mampat daripada habuk kayu dan sisa industri perkayuan.
Menurutnya, walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Muzik serta pernah mengusahakan kelas piano sendiri, dia mengambil keputusan menutup kelas itu pada 2025 bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan kilang yang diambil alih pada 2023.
“Saya belajar muzik sejak kecil sehingga berusia 24 tahun. Saya memang meminati muzik dan pernah membuka kelas sendiri, namun saya mahukan cabaran baharu kerana melihat industri ini mempunyai potensi besar untuk berkembang.
“Pada mulanya saya tidak tahu apa-apa mengenai pembuatan arang, pengurusan pekerja mahupun perniagaan. Saya belajar daripada peringkat paling bawah, bermula dengan proses menghasilkan arang sebelum mengurus operasi kilang dan pemasaran,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Mentakab.
Emily berkata, kilang itu menggunakan habuk kayu dan sisa buangan industri perkayuan sebagai bahan mentah sebelum diproses menjadi arang mampat, sekali gus mengurangkan pembaziran serta menawarkan produk yang lebih mesra alam berbanding arang daripada kayu bakau.

Katanya, pendekatan mengitar semula sisa kayu itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada bahan buangan, malah membantu memenuhi permintaan pasaran terhadap produk yang lebih lestari.
“Kami mendapatkan habuk kayu dan sisa daripada kilang-kilang kayu sebelum memprosesnya menjadi arang mampat. Bahan yang sebelum ini dianggap buangan kini bertukar menjadi produk bernilai tinggi,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun menguruskan kilang berkenaan, produknya kini dipasarkan ke seluruh negara selain dieksport ke beberapa negara termasuk Arab Saudi, Australia dan Jepun.
Emily berkata, kilang berkenaan menggaji lapan pekerja asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah selain menghasilkan arang dalam pelbagai saiz pembungkusan antara dua hingga 20 kilogram.

Beliau berkata, selain mengeluarkan produk di bawah jenama sendiri, syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan Original Equipment Manufacturer (OEM) kepada pelanggan yang mahu memasarkan produk menggunakan jenama masing-masing.
“Arang sering digelar sebagai ’emas hitam’ kerana permintaannya yang tinggi di pasaran. Saya berharap kilang ini terus berkembang dan membawa lebih banyak produk tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.-SAHIH
