13 Penjaja Terima Tapak Perniagaan Berlesen di Bandar Baru Sungai Buaya
Foto: Ruslee Hashim (duduk, lima dari kiri) dan Kamaruzaman Abdul Rahman (duduk, empat dari kanan) merakamkan kenangan bersama-sama penjaja.
13 Penjaja Terima Tapak Perniagaan Berlesen di Bandar Baru Sungai Buaya
HULU SELANGOR, 25 Mei – Seramai 13 penjaja di Bandar Baru Sungai Buaya (BSB) menerima surat tawaran tapak perniagaan berlesen daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), sekali gus membuka lembaran baharu kepada mereka untuk menjalankan perniagaan secara lebih teratur, selesa dan selamat.
Penyediaan tapak penjaja berlesen itu dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti peniaga kerana menawarkan lokasi perniagaan yang strategik dan sah di sisi undang-undang selain kadar sewa yang rendah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tapak berkenaan juga mampu menjamin kestabilan perniagaan tanpa gangguan, meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap tahap kebersihan dan kualiti makanan yang dijual serta berpotensi menjadi tumpuan masyarakat setempat.
Bagi membantu merealisasikan usaha itu, Persatuan Jiwa Cakna Bandar Baru Sungai Buaya (PJCBBSB) menganjurkan sesi pertemuan antara komuniti penjaja harian BSB dan Jabatan Perlesenan MPHS buat kali ketiga di Pusat Komuniti KRT Kasturisari Presint 14, BSB.
Pengerusi PJCBBSB, Dato’ Ruslee Hashim berkata, pihaknya sentiasa komited membantu penjaja mendapatkan tapak perniagaan yang sesuai demi meningkatkan taraf ekonomi komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Usahawan MPHS, Kamaruzaman Abdul Rahman, yang hadir bagi menyampaikan taklimat berkaitan kemudahan dan syarat penggunaan tapak perniagaan baharu itu.
“Kerjasama erat antara komuniti penjaja, PJCBBSB dan MPHS diharap dapat memperkukuh pembangunan ekonomi setempat serta membuktikan keprihatinan PBT dalam membantu golongan peniaga kecil.
“Penjaja juga diharap sentiasa menjaga kebersihan kawasan, mengekalkan kualiti makanan serta memberikan layanan mesra kepada pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PJCBBSB merangkap Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Kasturisari Presint 14, Mahmod Mat Ali berkata, penyediaan tapak yang tersusun memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai juadah di satu lokasi.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membantu penjaja menjana pendapatan keluarga dengan lebih selamat, malah mewujudkan suasana perniagaan yang bersih, teratur dan mesra pelanggan selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan oleh banyak PBT di seluruh Selangor.-SAHIH.
