Pahang Perkukuh Inisiatif Pendidikan, Sasar Kecemerlangan Berterusan
Pahang Perkukuh Inisiatif Pendidikan, Sasar Kecemerlangan Berterusan
BERA: Kerajaan Pahang akan terus memperkukuh sektor pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berintegriti, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kejayaan Pahang muncul sebagai negeri terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan kerajaan negeri selama ini membuahkan hasil membanggakan.
Menurutnya, pencapaian itu tidak seharusnya menjadi titik noktah, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di negeri ini.
“Kita melihat cabaran pendidikan semakin kompleks dan memerlukan perhatian yang lebih menyeluruh. Sebab itu kerajaan negeri sentiasa mencari ruang untuk menambah baik bantuan serta sokongan kepada pelajar.
“Sebelum ini kita menyediakan empat buku rujukan dan latihan, namun tahun ini jumlah itu ditambah kepada enam dengan memasukkan subjek Matematik Tambahan dan Sains bagi membantu pelajar membuat persediaan lebih baik menghadapi peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM Tahun 2026 di Dewan Ibnu Sina, SMK (Felda) Purun, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menerima cadangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) supaya bantuan pendidikan itu diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Empat pada masa hadapan.
Katanya, cadangan berkenaan dipersetujui pada prinsipnya, namun kerajaan negeri memerlukan maklumat lebih terperinci termasuk jumlah pelajar yang bakal menerima manfaat serta implikasi kewangan sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Bagi saya, pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan anak-anak Pahang dan kerajaan negeri sentiasa bersedia mempertimbangkan sebarang cadangan yang mampu meningkatkan kecemerlangan pendidikan.
“Kita mahu anak-anak Pahang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai akhlak yang baik, beradab, bersopan santun dan berintegriti,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan pembangunan fizikal bagi memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh generasi akan datang.
Beliau berkata, tiada maknanya sesebuah negeri mencapai kemajuan jika akhlak generasi mudanya runtuh kerana kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah perlu diberi penekanan yang sama.
Pada majlis itu, Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM3.64 juta bagi menjayakan Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM tahun ini yang bakal memberi manfaat kepada 22,678 pelajar di seluruh negeri.-SAHIH
