Perpecahan PN Jejaskan Agenda Tawan Pahang
Perpecahan PN Jejaskan Agenda Tawan Pahang
BERA – Slogan ‘PN Teraju Pahang’ kini dilihat semakin sukar direalisasikan selepas PAS mengambil keputusan menamatkan hubungan politik dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan terkini itu menunjukkan usaha yang selama ini diwar-warkan pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran negeri berdepan cabaran lebih besar susulan perpecahan dalam gabungan berkenaan.
“Saya dapati usaha mereka, yang mereka war-warkan nampaknya menghadapi jalan yang complicated… jalan yang berliku-liku dan ini berlaku setelah mereka menolak Bersatu dalam PN.
“Sama ada (slogan) PN Teraju Pahang itu sudah boleh ‘tutup kedai’, yang itu kita boleh buat tafsiran sendirilah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini susulan pengumuman PAS pada Isnin lalu untuk menamatkan hubungan politik dengan Bersatu dalam PN.
Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang – Buku Rujukan dan Latihan SPM, STPM dan STAM Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purun, dekat sini, petang tadi.
Awal hari ini, PAS Pahang memaklumkan pihaknya akan terus menggunakan slogan ‘PN Teraju Pahang’ walaupun hubungan politik antara PAS dan Bersatu sudah berakhir.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Zulfadli Zakariah berkata, walaupun misi menerajui Pahang kini menjadi agenda PAS, belum ada ketetapan daripada pimpinan PAS Pusat untuk menyingkirkan nama PN daripada slogan berkenaan.
“PAS Pahang masih akan menggunakan PN untuk gerak kerja pilihan raya selagi belum ada keputusan untuk menyingkirkan nama itu.
“Keputusan menamatkan hubungan dengan Bersatu dibuat menerusi saluran organisasi parti yang sah, termasuk ketetapan Majlis Syura Ulamak selepas meneliti dinamika politik semasa negara.
“Kami juga yakin keputusan itu dibuat demi maslahat perjuangan Islam, agenda penyatuan ummah serta masa depan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Sebelum ini, BERSATU Pahang menegaskan keputusan pertukaran Pengerusi PN negeri itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN) dan perlu dipatuhi serta dihormati semua pihak.
Timbalan Ketua BERSATU Pahang, Jasri Jamaludin berkata, pertukaran berkenaan dibuat bagi memperkukuhkan PN Pahang serta memantapkan gerak kerja parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, keputusan itu dibuat menerusi saluran parti yang sah serta selaras dengan usaha memperkemaskan jentera PN di peringkat negeri bagi menghadapi cabaran politik akan datang.-SAHIH
