25,000 jentera BN gegar Stadium Educity
25,000 jentera BN gegar Stadium Educity
JOHOR BAHRU: Kehadiran hampir 25,000 jentera Barisan Nasional (BN) pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya parti itu di Stadium Educity, Iskandar Puteri, malam semalam , membuktikan semangat luar biasa akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, suasana di stadium berkenaan cukup meriah apabila lautan penyokong dan jentera BN memenuhi ruang sehingga ada yang terpaksa berada di luar stadium kerana kapasiti yang tidak mencukupi.
Menurutnya, semangat yang ditunjukkan oleh jentera parti dari seluruh negara memberi gambaran jelas bahawa BN berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi medan pilihan raya.
“Keadaan dalam stadium penuh sesak dengan kehadiran jentera yang datang memberikan sokongan kepada parti. Sambutan yang diterima benar-benar di luar jangkaan.
“Laungan ‘BN Menang, BN Menang’ bergema di seluruh stadium sehingga mencetuskan suasana penuh semangat dan keyakinan dalam kalangan jentera yang hadir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi parti.
Razak berkata, dalam ucapan beliau, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera supaya memperhebat usaha dan bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan BN pada PRN Johor kali ini.
Katanya, Presiden UMNO itu turut menekankan pentingnya kesepaduan serta gerak kerja tersusun dalam mendekati pengundi di semua peringkat.
“Ucapan beliau jelas meniupkan semangat baharu kepada jentera parti supaya terus bergerak dan turun padang mendekati rakyat.

“Semangat yang ditunjukkan hari ini membuktikan BN mempunyai kekuatan tersendiri dan bersedia menghadapi cabaran politik semasa,” katanya.
Beliau yakin momentum yang terhasil menerusi pelancaran jentera itu mampu menjadi pemangkin kepada gerak kerja parti menjelang PRN Johor serta pilihan raya akan datang.-SAHIH
