Tiga Hari sesat dalam Hutan Bukit Tangga jadi pengajaran buat pendaki
Tiga Hari sesat dalam Hutan Bukit Tangga jadi pengajaran buat pendaki
KETIKA negara masih mengikuti pelbagai kes kehilangan dan kejadian sesat di kawasan hutan serta pergunungan, seorang bekas anggota tentera berkongsi pengalaman mencemaskan yang dilaluinya ketika menjalani latihan ketenteraan di Bukit Tangga, Ulu Kelawang dekat sini pada tahun 2009.
Bekas anggota tentera yang hanya dikenali sebagai Yob melalui Facebook Rakan Pesara Tentera yang dikongsi oleh Princess Nadya berkata, beliau bersama tujuh lagi rakan seksyen terlibat dalam latihan pandu arah dan bacaan peta sempena Kursus KADAR yang bermula dari kawasan Jeram Toi menuju ke Jeram Kedah.
Menurutnya, mereka dibekalkan dengan kompas tentera, peta topografi, kelengkapan ikhtiar hidup, dua pek catuan makanan serta senjata peribadi sebelum dilepaskan ke kawasan latihan pada kira-kira pukul 6.30 petang.
“Kami memulakan perjalanan berpandukan kompas dan peta yang telah ditandakan lebih awal. Namun selepas beberapa jam bergerak, kami menyedari seolah-olah berpusing di kawasan yang sama.
“Apabila cuba menyemak semula kedudukan menggunakan kompas, jarumnya pula tidak menunjukkan arah yang konsisten dan terus berpusing-pusing,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kumpulan berkenaan gagal tiba di lokasi pemeriksaan yang ditetapkan dan terpaksa bermalam di dalam hutan selepas keletihan.
Sepanjang tempoh tersebut, mereka membina kawasan perlindungan sementara, membahagikan tugas berkawal secara bergilir-gilir serta mengamalkan langkah keselamatan bagi mengelakkan ancaman haiwan berbisa.
Katanya, cabaran semakin sukar apabila bekalan air semakin berkurangan dan mereka terpaksa mendapatkan sumber air daripada akar-akar hutan yang sesuai diminum.
“Kami tidak lagi memikirkan soal gagal menepati jadual latihan. Apa yang penting ketika itu hanyalah mencari jalan keluar dengan selamat.
“Pelbagai usaha dilakukan termasuk meninjau puncak bukit untuk mengenal pasti kedudukan berdasarkan bentuk muka bumi yang terdapat dalam peta, namun semuanya tidak berhasil,” ujarnya.
Menurut beliau, pada hari ketiga mereka akhirnya berjaya menghubungi keluarga selepas telefon bimbit memperoleh isyarat yang sangat lemah.
Tidak lama kemudian, mereka mendengar bunyi motosikal dari kawasan berhampiran sebelum menemui kebun dan laluan keluar dari hutan.
Mengimbau pengalaman tersebut, beliau berkata kejadian itu menjadi pengajaran bahawa hutan tidak boleh dipandang mudah walaupun seseorang mempunyai latihan dan pengalaman.
Katanya, setiap individu yang ingin melakukan aktiviti pendakian atau memasuki kawasan hutan perlu membuat persediaan rapi termasuk dari segi fizikal, mental, bekalan makanan, air, lampu suluh, alat komunikasi serta pengetahuan asas ikhtiar hidup.
“Ramai melihat pendakian sebagai aktiviti santai, tetapi apabila berlaku kecemasan, ilmu, disiplin dan persediaan menjadi faktor utama yang menentukan keselamatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memaklumkan lokasi dan perancangan perjalanan kepada ahli keluarga atau rakan sebelum memasuki kawasan hutan bagi memudahkan usaha mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
Kredit : FB Rakan Pesara Tentera.
