UMNO Dakwa Pas Terdesak ‘Tumpang Nama’ Felda Jengka 24 Jelang PRU
UMNO Dakwa Pas Terdesak ‘Tumpang Nama’ Felda Jengka 24 Jelang PRU
JERANTUT : UMNO mendakwa Pas kini semakin terdesak apabila menganjurkan program di Felda Jengka 24, Jerantut, dipercayai bagi meraih perhatian dan mencipta gambaran kononnya parti itu mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan warga peneroka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua UMNO Cawangan Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, tindakan memilih kawasan tanah rancangan itu dilihat sebagai usaha terancang untuk membina persepsi politik.
Menurutnya, realiti di lapangan menunjukkan Pas tidak mempunyai akar umbi yang kuat di Felda berkenaan.
“Saya nampak mereka cuba cipta persepsi kepada warga peneroka seolah-olah penduduk di sini memberi sokongan kepada Pas.
“Pemilihan Felda Jengka 24 untuk mengadakan program seperti mesyuarat ini secara tidak langsung menunjukkan mereka terdesak mencari sokongan menjelang PRU,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razak yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Andak’ berkata, beliau menerima maklumat mengenai program itu menerusi mesej WhatsApp yang dikongsi penduduk setempat.
Katanya, berdasarkan poster yang tular, Pas akan menganjurkan mesyuarat agung dan program BBQ di markas parti itu malam ini.
Poster berkenaan turut memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar daripada Pas-Perikatan Nasional, Yohanis Ahmad dijadualkan hadir merasmikan program berkenaan.

Mengulas lanjut, Razak yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut menasihatkan warga peneroka supaya tidak mudah terpengaruh dengan taktik politik yang didakwa cuba mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, majoriti peneroka masih yakin dengan kepimpinan kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang disifatkan membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.-SAHIH
