Gemacitra Pahang 1st & Pahang Berbusana 2.0 perkasa produk tempatan, tarik pelancong ke Temerloh
Gemacitra Pahang 1st & Pahang Berbusana 2.0 perkasa produk tempatan, tarik pelancong ke Temerloh
TEMERLOH – Program Gemacitra Pahang 1st bersama Pahang Berbusana 2.0 dilihat mampu menjadi pemangkin baharu dalam mempromosikan produk tempatan, seni budaya serta industri kreatif negeri ini sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) memperluaskan pasaran, malah membantu memperkenalkan identiti serta keunikan Pahang kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, Temerloh yang sinonim sebagai bandar ikan patin turut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan budaya dan produk warisan yang boleh memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.
“Program ini bukan sekadar acara hiburan atau pameran, tetapi platform penting untuk mengetengahkan produk Pahang, memperkasa ekonomi rakyat dan memperkukuh industri pelancongan negeri,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini, malam tadi.

Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang sentiasa menyokong penganjuran program berskala besar yang mampu menarik lebih ramai pelancong dan pelabur, selain menjadi medan kepada pengusaha tempatan memasarkan produk mereka secara lebih meluas.
Beliau turut menggalakkan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, pihak swasta serta komuniti setempat bagi memastikan acara seperti ini dapat dijadikan program tahunan yang memberi impak kepada ekonomi daerah.
Program Gemacitra Pahang 1st dan Pahang Berbusana 2.0 yang berlangsung meriah itu turut dimeriahkan dengan pameran jualan produk tempatan, persembahan kebudayaan, pertunjukan busana tradisional serta pelbagai aktiviti komuniti.
Penganjuran itu juga dilihat mampu menjadi tarikan baharu kepada pelancong, khususnya dalam mengetengahkan kekayaan budaya, fesyen tradisi serta kreativiti masyarakat Pahang yang semakin mendapat perhatian di peringkat nasional.-SAHIH
