“Kos ladang naik 35 peratus, peneroka harap harga sawit terus tinggi”
“Kos ladang naik 35 peratus, peneroka harap harga sawit terus tinggi”
JERANTUT: Peneroka Felda di Wilayah Jengka berharap harga sawit terus kekal pada paras tinggi bagi menampung peningkatan kos operasi ladang yang dijangka melonjak susulan kenaikan harga diesel.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kenaikan kos pengangkutan dan penyelenggaraan ladang dianggarkan meningkat sehingga 35 peratus sekali gus memberi tekanan kepada pendapatan peneroka.
Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan keuntungan sektor perladangan dijangka menyusut kira-kira 30 peratus, terutama melibatkan kos pengangkutan buah tandan segar, upah menuai serta pembelian baja yang semakin mahal.
“Kita difahamkan kos-kos ini akan meningkat dan peneroka pasti terkesan kerana ia membabitkan perbelanjaan harian ladang.
“Namun peneroka berharap Felda akan memantau kenaikan kos supaya tidak melampau hingga membebankan. Kita juga mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan subsidi tertentu bagi meringankan beban,” katanya ketika dihubungi SAHIH hari ini.
Razak berkata, setakat ini peneroka masih mampu bertahan kerana harga sawit berada pada paras stabil iaitu antara RM900 hingga RM1,050 bagi satu metrik tan.

“Harga itu memberi sedikit ruang, tetapi kalau kos terus meningkat setiap bulan, pendapatan bersih peneroka akan semakin mengecil. Harapan kita supaya harga sawit kekal tinggi dalam tempoh panjang,” katanya.
Beliau berkata, langkah kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar dilihat penting bagi memastikan kelangsungan sektor perladangan yang menjadi sumber utama ekonomi luar bandar.
“Subsidi ini bukan hanya membantu peneroka, tetapi turut memastikan rantaian bekalan hasil sawit negara kekal stabil,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan pihak berkaitan mempercepatkan kajian penggunaan tenaga alternatif serta mekanisme kawalan harga diesel supaya sektor perladangan tidak terus tertekan dengan peningkatan kos operasi.-SAHIH
