UMNO harap sinar hujung terowong rampas semula kerusi pada PRU16
UMNO harap sinar hujung terowong rampas semula kerusi pada PRU16
JERANTUT – UMNO berharap Persidangan Tahunan UMNO tahun ini menjadi medan terakhir memperkukuh kekuatan parti sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka boleh diadakan selepas ini.
Ketua UMNO Bahagian Jengka 24, Razak Daud berkata, persidangan kali ini amat penting bagi memastikan gerak kerja parti terus tersusun dan momentum sokongan rakyat dapat diperkasakan terutama dalam usaha merampas semula kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini.
“Berkemungkinan persidangan UMNO tahun ini kali terakhir kerana PRU16 sudah boleh dibuat selepas ini.
“Kita berharap ada sinar di hujung terowong untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang dahulu kalah,” katanya.
Razak berkata, parti turut meletakkan harapan besar terhadap sokongan pengundi muda khususnya saluran tiga, empat dan lima yang menjadi kumpulan pengundi berusia 18 tahun ke atas.
Menurutnya, sokongan golongan muda amat penting bagi memastikan UMNO terus relevan dan mampu kembali menjadi pilihan utama rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Kita mengharapkan sokongan daripada saluran tiga, empat dan lima yang mana saluran ini merupakan pengundi 18 tahun ke atas,” katanya.
Dalam pada itu, Razak berkata, UMNO kini dilihat semakin menyerlah dalam usaha membantu masyarakat daripada pelbagai sudut tanpa mengira lapisan rakyat.
Katanya, pelbagai inisiatif dan gerak kerja yang dilaksanakan menunjukkan UMNO terus komited menjaga kebajikan rakyat.
“Setakat ini UMNO sangat menyerlah membantu masyarakat daripada pelbagai sudut di semua lapisan.
“Kita percaya dan yakin anak muda sudah dapat menilai prestasi yang dibuat oleh kepimpinan UMNO,” katanya.
Beliau berharap persidangan tahunan peringkat cawangan itu menjadi platform menyatukan ahli serta memperkukuh jentera bagi menghadapi cabaran politik semasa.-SAHIH
