Op bersepadu di Plaza Tol Temerloh, 27 saman dikeluarkan
Op bersepadu di Plaza Tol Temerloh, 27 saman dikeluarkan
TEMERLOH: Polis mengeluarkan 27 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Op Bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Plaza Tol Temerloh, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Temerloh membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota.
Menurutnya, operasi turut disertai tiga pegawai dan 12 anggota JPJ, seorang pegawai serta tujuh anggota AADK, selain sembilan anggota JAS.
“Operasi bersepadu ini dijalankan di kawasan Plaza Tol Temerloh bermula jam 8 malam hingga 12.01 tengah malam.
“Sepanjang operasi berlangsung, pihak polis mengeluarkan sebanyak 27 keping saman atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, dalam operasi sama, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 46 notis atas pelbagai kesalahan berkaitan kenderaan.

Katanya, AADK pula membuat satu tangkapan sepanjang operasi terbabit.
Beliau berkata, operasi seperti itu dijalankan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta mengesan sebarang pelanggaran peraturan oleh pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang ketika memandu atau menunggang kenderaan di jalan raya.
“Pemandu dan penunggang dinasihatkan supaya tidak melakukan kesalahan jalan raya atau kesalahan undang-undang yang boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan saman atau tangkapan,” katanya.-SAHIH
