Penduduk Jengka 24 gempar beruang melintas dekat sekolah
Penduduk Jengka 24 gempar beruang melintas dekat sekolah
JERANTUT – Penduduk Felda Jengka 24 di sini gempar apabila seekor beruang matahari dipercayai melintas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 24, hari ini.
Kejadian kira-kira 1 tengah hari itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk terutama ibu bapa kerana haiwan liar berkenaan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan murid.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kehadiran haiwan itu disedari penduduk sebelum maklumat segera disebarkan kepada orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kejadian berlaku berhampiran SK Jengka 24. Penduduk terkejut kerana beruang ini jarang muncul di kawasan penempatan.
“Biasanya beruang tinggal di kawasan hutan besar sahaja, tetapi kali ini ia melintas berhampiran sekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan namun penduduk diminta tidak mengambil mudah dan sentiasa berwaspada.
Beliau turut mengingatkan murid serta pihak sekolah supaya lebih berhati-hati terutama ketika waktu balik sekolah dan aktiviti luar bilik darjah.

“Jika nampak kelibat haiwan liar, jangan cuba mendekati atau mengambil gambar. Segera maklumkan kepada guru atau orang dewasa,” katanya.
Razak berkata, laporan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Jerantut bagi tindakan lanjut.
“Laporan sudah dibuat dan kita berharap pihak Perhilitan dapat memantau kawasan ini segera demi keselamatan penduduk serta murid sekolah,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak keluar bersendirian terutama pada waktu petang dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya beruang itu kembali muncul.-SAHIH
