Dr KJEY sasar rekod dunia ketiga, semangat ibu jadi pembakar azam
Dr KJEY sasar rekod dunia ketiga, semangat ibu jadi pembakar azam
TEMERLOH : Atlet kecergasan negara dari Pahang, Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali sebagai Dr. KJEY kini memasuki fasa latihan intensif bagi misi mencipta rekod dunia ketiga menerusi cabaran ekstrem 18 jam kardio dan angkat berat tanpa henti.
Anak kelahiran Kuala Lipis berusia 29 tahun itu sebelum ini mencipta dua rekod dunia dalam kategori sama apabila berjaya melakukan latihan kardio dan angkat berat tanpa henti selama 12 jam dan 15 jam, selain turut memecahkan rekod Asia (13 jam).
Beliau turut mencatat kejayaan apabila memecahkan tiga rekod kebangsaan sempena Hari Sukan Negara, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai antara atlet endurance paling konsisten di Malaysia.
Menurut Dr. KJEY, cabaran kali ini jauh lebih mencabar kerana menuntut ketahanan fizikal serta kekuatan mental yang luar biasa.
Katanya, beliau memulakan latihan intensif selama tiga bulan bermula April dengan jadual latihan dua kali sehari, enam hari seminggu serta kawalan pemakanan yang sangat ketat dan terkawal.
“Selepas semua pencapaian ini, saya kini fokus sepenuhnya untuk rekod dunia ketiga. Sasaran saya adalah 18 jam tanpa henti. Ini bukan mudah, tetapi saya bersedia,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Dr. KJEY berkata sokongan ibunya, Sukunamalar Sivalingam, 68, menjadi pembakar semangat terbesar dalam memastikan beliau terus kuat menghadapi tekanan latihan yang ekstrem.
Katanya, setiap kali tubuh hampir menyerah, doa dan kata-kata ibunya menjadi kekuatan utama untuk bangkit dan meneruskan perjuangan.

Dr. KJEY bersama ibunya, Sukunamalar Sivalingam, 68, menunjukkan pingat dan sijil Asia Book of Records yang pernah diraih sebelum ini
Beliau turut menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Muhamad Sayzwan, yang juga individu penting di sebalik kejayaan rekod dunia beliau pada 2023 dan 2024.
Dr. KJEY berkata, beliau sudah berjaya menurunkan 35 kilogram berat badan sebagai persediaan fizikal untuk mencapai prestasi optimum.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan serta Jabatan Belia dan Sukan Pahang atas sokongan berterusan dalam misi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.-SAHIH
