Aktivis buat laporan polis isu dakwaan pemimpin PKR guna firma asing
Aktivis buat laporan polis isu dakwaan pemimpin PKR guna firma asing
KUALA LUMPUR – Seorang aktivis masyarakat membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menggunakan khidmat firma perunding asing bagi memberi tekanan terhadap kerajaan Malaysia sekitar tahun 2016.
Aktivis berkenaan, Mythreyar Mutturamalinggam, berkata laporan itu dibuat selepas beliau membaca satu artikel dalam portal berita MalaysiaNow yang bertajuk “Pendedahan: Bagaimana PKR guna firma perunding asing supaya AS beri tekanan kepada Najib.”
Menurutnya, artikel tersebut mendakwa beberapa pemimpin tertinggi PKR didakwa mengupah ejen dari Amerika Syarikat, termasuk individu dikenali sebagai Jared Genser, bagi mendapatkan sokongan pihak luar untuk memberi tekanan terhadap kerajaan Malaysia ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Artikel berkenaan turut menyatakan terdapat bukti berupa emel antara pemimpin PKR dan pihak di Amerika Syarikat yang membincangkan usaha mendapatkan bantuan daripada White House serta badan Kongres Amerika,” katanya dalam laporan polis tersebut.
Mythreyar berkata, perkara itu dipandang serius memandangkan ia didakwa melibatkan usaha mendapatkan campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman negara.
Katanya, antara nama yang disebut dalam laporan berkenaan termasuk Nurul Izzah Anwar dan Sivarasa Rasiah.
Menurutnya lagi, Sivarasa melalui kenyataan akhbar pada 3 Mac lalu turut mengesahkan kewujudan emel berkenaan dan menyatakan ia bukan rekaan atau fitnah.
“Emel itu juga didakwa menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui mengenai perkara tersebut ketika itu dan ada memberikan arahan berkaitan,” katanya.
Tambahnya, dakwaan lain yang turut disebut dalam emel berkenaan ialah Nurul Izzah didakwa diberi tanggungjawab mencari fakta tertentu bagi membolehkan pihak asing menuduh kerajaan Malaysia sebagai ekstremis Islam ketika itu.

Sehubungan itu, Mythreyar berkata beliau percaya perkara tersebut wajar disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan selain peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan secara telus dan tanpa berpihak walaupun kes ini melibatkan individu berpengaruh.
“Memandangkan perkara ini didakwa berkait dengan keselamatan negara, saya berharap siasatan dapat dijalankan segera dan diberi keutamaan,” katanya.-SAHIH
