BERAS PAHANG TARIK PERHATIAN DI MINI MAHA
BERAS PAHANG TARIK PERHATIAN DI MINI MAHA
TEMERLOH – Kerajaan Negeri Pahang terus melakar kejayaan apabila penganjuran Mini MAHA Pahang mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 80,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya program itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Mini MAHA bukan sahaja platform mempromosikan hasil pertanian tempatan, malah turut membuka mata rakyat negeri ini dan luar Pahang terhadap keunikan produk yang tidak terdapat di negeri lain.
“Setakat ini kehadiran pengunjung telah melepasi sasaran, sekali gus membuktikan Mini MAHA wajar diteruskan pada masa depan. Malah, kita bercadang menjadikannya acara tahunan dan dianjurkan di daerah lain pula,” katanya.
Antara produk yang menjadi tumpuan ialah Beras Pahang Prebiotik, beras pertama seumpamanya di Malaysia yang dihasilkan dari jelapang padi Rompin. Produk itu diperkenalkan dengan kelebihan indeks glisemik rendah serta kandungan prebiotik yang baik untuk kesihatan usus dan sesuai dimakan penghidap diabetes.
“Beras Pahang ini berbeza kerana benihnya istimewa, kadar gula lebih rendah, teksturnya lembut dan memberi rasa lebih enak berbanding beras biasa. Sambutannya sangat baik dan kini sudah mula dipasarkan,” katanya.

Menurut beliau, kilang pemprosesan beras di Rompin, di tanam di Ganchong, Pekan ini mampu memenuhi permintaan rakyat negeri ini sebelum dikembangkan ke negeri lain. Harga pasaran beras tersebut ditawarkan pada RM10 sekilogram, namun dijual pada harga promosi RM8 sekilogram sepanjang Mini MAHA berlangsung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang serta semua jabatan terlibat yang menjadi tulang belakang penganjuran Mini MAHA, selain ucapan terima kasih kepada pengunjung yang memberi sokongan luar biasa.
“Insya-Allah, kerajaan negeri tidak akan berpuas hati dengan pencapaian ini. Kita akan tambah baik dari semasa ke semasa agar Mini MAHA benar-benar menjadi jenama Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa jualan Beras Pahang akan dipasarkan sepenuhnya bermula September ini dan boleh didapati di semua rangkaian Pasaraya Darul Makmur (PDM) di setiap daerah seluruh negeri.-SAHIH