Mini MAHA Pahang 2025 Gegar Temerloh 4 Hari Penuh Aktiviti Agro, Penternakan dan Perikanan
Mini MAHA Pahang 2025 Gegar Temerloh 4 Hari Penuh Aktiviti Agro, Penternakan dan Perikanan
TEMERLOH – Mini MAHA Pahang 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Ogos ini di Dataran Temerloh menjanjikan empat hari penuh pengisian menarik merangkumi pameran, pertandingan dan demonstrasi di beberapa zon utama.
Di Zon B yang menempatkan Dewan Tun Razak, Laman LPP, Laman Invest Pahang, Laman Perikanan dan food truck, pengunjung boleh menyertai pertandingan puzzle, mewarna lukisan, permainan Kahoot, pertandingan makan keropok serta aktiviti mewarna replika penyu.
Turut diadakan ialah sesi perkongsian kejayaan usahawan peladang, program agrotourism bersama persatuan nelayan dan lawatan Menteri Besar Pahang ke reruai pada 16 Ogos.
Sementara itu, Zon E Laman Ternak yang dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang pada 14 Ogos menawarkan pameran ternakan, pertunjukan gajah, tunggangan kuda, pameran haiwan eksotik, klinik veterinar bergerak serta demonstrasi ujirasa daging Wagyu.
Aktiviti interaktif seperti ‘Rabbit Petting’ dan teka berat lembu Sado turut mencuri perhatian pengunjung, selain sesi perkongsian ilmu penternakan.
Kemuncak program pada 16 Ogos akan menyaksikan Majlis Perasmian Mini MAHA Pahang 2025 oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Mini MAHA, pelancaran produk Pahang Best dan Beras Pahang serta kenduri buah bersama rakyat. Menteri Besar juga dijadual melawat Laman Ternak sebelum menandatangani perjanjian kerjasama di Dewan Tun Razak.
Zon D di Esplanade pula menjadi tumpuan kaki pancing melalui Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah, pertandingan memancing atas bot dan lumba bot. Pemenang akan diumumkan pada 16 Ogos selepas acara pelepasan lumba bot oleh Menteri Besar.
Mini MAHA Pahang 2025 menjadi platform mempamerkan keunikan sektor agro dan perikanan negeri di samping mengeratkan hubungan rakyat dengan agensi kerajaan serta penggiat industri tani.-SAHIH