Bukan Sekadar Bina Kedai: Jaya Depan Rintis Ekosistem Perniagaan Hidup di Jerantut
Foto : Pemandangan Jerantut Square di Jerantut
Bukan Sekadar Bina Kedai: Jaya Depan Rintis Ekosistem Perniagaan Hidup di Jerantut
JERANTUT – Dalam dunia pemajuan hartanah yang sering terikat pada logik ‘bina dan jual’, sebuah syarikat tempatan, Pembinaan Jaya Depan Sdn. Bhd. (Jaya Depan) tampil berbeza dengan membina bukan sekadar bangunan, tetapi mencorak ekosistem kehidupan dan perniagaan yang bernafas dan berkembang.
Bermula dengan hanya kontrak pembinaan kecil sekitar tahun 2010, Jaya Depan kini berdiri sebagai antara pemacu pembangunan komersial berimpak tinggi di negeri Pahang. Pengasasnya, Jason Tee, bukan sekadar mahu ‘menjual unit’, tetapi mencipta tempat yang hidup dengan perniagaan, komuniti dan keceriaan.

Jason Tee (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
“Saya selalu tanya, siapa yang akan berniaga di sini? Apa yang orang nak buat di sini? Kami mula dari situ,” katanya tenang tetapi yakin, sewaktu ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Antara projek yang menjadi penanda aras kejayaan pendekatan ini ialah Pusat Perniagaan Barry di Lipis, pusat komersial pertama di kawasan itu yang siap dibina pada tahun 2023. Dari situ, perjalanan terus berkembang, kini menuju ke Jerantut dengan projek mega Jerantut Square.
Jerantut Square: Nadi Baharu Gaya Hidup dan Ekonomi
Dibangunkan di kawasan seluas hampir 9 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM130 juta, Jerantut Square bukan hanya deretan kedai. Ia dirancang sebagai pusat sehenti, lengkap dengan pasar raya besar, pusat sukan, central walk, tempat letak kereta dan bas, malah stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
“Ini bukan mall kosong, kami pastikan sudah ada pemain utama dulu seperti Watsons, Family Mart, baru kami buka kepada yang lain. Bila orang datang, semua orang dapat manfaat, dari pemilik restoran tempatan hingga ke usahawan kecil,” katanya.
Model perniagaan yang dibawanya juga unik. Ruang dibuka untuk disewa terlebih dahulu kepada syarikat kukuh. Setelah operasi berjalan lancar, barulah unit ditawarkan kepada pelabur yang mahu membeli dan mengutip sewa, satu pendekatan yang menjamin vibrancy dan pulangan jangka panjang.

Pemaju berjiwa komuniti
Pemaju Berjiwa Komuniti
Lebih daripada keuntungan, Jason percaya pemaju hari ini perlu ada tanggungjawab sosial, mencipta ruang yang benar-benar digunakan.
“Kami bukan setakat mahu jual, tapi mahu lihat tempat itu hidup. Itulah pemaju sebenar,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang menyokong visi syarikatnya.
Dengan semangat dan sokongan yang kian bertambah, Jason optimis untuk terus memperluas model ini ke daerah-daerah lain di Pahang.
“Kami tak bangun bangunan sahaja. Kami bangunkan kehidupan,” katanya. -SAHIH.