Kereta menggelongsor ke sungai, wanita dikhuatiri lemas
Kereta menggelongsor ke sungai, wanita dikhuatiri lemas
BERA, : Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas kereta dinaikinya bersama anak kecil menggelongsor ke dalam Sungai Triang berhampiran Jalan Pasar Ayam, Bandar Baru Bera, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Sakirah Akop, 31, dipercayai berada dalam kereta Perodua Bezza bersama anak perempuannya, Aleesyah Humairah berusia setahun, manakala suaminya, Abdul Wahid Randa yang juga anggota tentera, berada di luar kenderaan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.58 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bergegas ke lokasi.
“Maklumat awal daripada saksi memaklumkan kereta itu secara tiba-tiba bergerak masuk ke dalam sungai. Suami mangsa sempat menyelamatkan anak mereka, namun isterinya yang cuba keluar dari kenderaan dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian giat dijalankan oleh anggota BBP Triang bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin yang sedang dalam perjalanan ke lokasi.
“Seramai 35 anggota tentera dari Kem Bera turut berada di lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Difahamkan, anak mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Bera.
Setakat jam 5 petang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan kekuatan 11 anggota bomba bersama bantuan jentera dan bot.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati terutama ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.-SAHIH