“Video terakhir anak muntah jadi kenangan terakhir”
“Video terakhir anak muntah jadi kenangan terakhir”
Lima beradik termasuk menantu maut nahas pulang beraya di Jerantut
JERANTUT – “Semua anak tempat berkongsi suka duka. Susah senang kami bincang bersama, kini semua pergi serentak,” kata Aziz Jaafar, 50, yang kehilangan empat anak dan seorang menantu dalam nahas tragis awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi di Kilometer 7, Jalan Jerantut – Maran itu, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, serta tiga adik iparnya, Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19; dan Nurul Hazwani, 17.
Menurut Aziz, anak-anaknya sangat teruja mahu pulang beraya ke Kampung Paya Gunung, Jerantut kerana itulah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke kampung berkenaan.
“Mereka sempat beli makanan ringan di kedai dua ringgit sebelum bertolak, kononnya bimbang lapar sebab nak jalan jauh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jerantut, di sini, hari ini.
Tambahnya, dia menerima video terakhir daripada anak ketiga yang menunjukkan anaknya muntah akibat laluan berbukit dan bengkang-bengkok.
“Kami tergelak tengok video itu… tak sangka itu video terakhir. Lepas itu terus senyap,” katanya sebak.
Aziz berkata, dia mula berasa tidak sedap hati apabila panggilan telefon tidak dijawab sejak jam 11 malam.
“Sepatutnya mereka tiba jam 2 pagi. Jam demi jam saya cuba hubungi tapi tiada jawapan,” katanya.
Katanya, berita kemalangan dimaklumkan oleh kakak iparnya yang tiba lebih awal ke kampung dengan kereta lain sebelum dimaklumkan kesemua anak-anaknya sudah tiada.-SAHIH