Kampung Kuala Tahan Terpilih Sebagai Kampung Angkat MADANI 2025 – Projek Baik Pulih Prasarana Dirancang
Kampung Kuala Tahan Terpilih Sebagai Kampung Angkat MADANI 2025 – Projek Baik Pulih Prasarana Dirancang
JERANTUT – Kampung Kuala Tahan telah diumumkan sebagai antara kampung bertuah terpilih di bawah Program Kampung Angkat MADANI 2025 yang diumumkan menerusi sesi libat urus dan taklimat oleh Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, hari ini.
Program berimpak tinggi ini merupakan inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2025 yang bertujuan meningkatkan kemudahan asas dan kualiti hidup masyarakat luar bandar dengan pendekatan kerjasama pelbagai agensi, GLC, GLIC serta pihak swasta.
Menurut Datuk Abdul Kadir, Jabatan PERHILITAN diberi mandat sebagai salah satu agensi pelaksana dan telah memilih Kampung Kuala Tahan sebagai lokasi utama bagi pelaksanaan lima projek berfasa awal yang dikenal pasti sebagai keperluan mendesak penduduk.
Antara projek yang bakal dilaksanakan termasuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf bumbung serta kemudahan di masjid, pembinaan tandas baharu, penaiktarafan tempat wuduk dan mandi jenazah, baik pulih kawasan perkuburan termasuk stor dan jalan, serta membaik pulih gelanggang futsal dan pagar sekitarnya.
“Pendekatan gotong-royong dan semangat kerjasama amat ditekankan. Malah, kontraktor tempatan dari Kampung Kuala Tahan sendiri akan diberi peluang untuk melaksanakan projek melalui kaedah lantikan terus,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar kontraktor tempatan mengemukakan tawaran harga terbaik demi manfaat bersama, bahkan menyarankan agar kerja-kerja tersebut dilakukan secara amal jariah jika berkemampuan.
Turut hadir dalam sesi libat urus tersebut ialah Ahli Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Haris Salleh Hamzah, Penguasa Taman Negara Pahang, En. Dennis Ten Choon Yung, Ketua Kampung Kuala Tahan, En. Abdul Jalil Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kuala Tahan, Tn. Hj. Abdullah Manan.
Program ini dijangka mampu menjadi pemangkin perubahan di peringkat akar umbi dan meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar secara mampan.-SAHIH