Mohd Shuhaily kekal bertugas selagi tiada arahan sebaliknya
Mohd Shuhaily kekal bertugas selagi tiada arahan sebaliknya
SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga menerima arahan sebaliknya daripada pihak berkuasa berkaitan.
Peguamnya, Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata, sebarang keputusan mengenai kedudukan anak guamnya dalam agensi itu tertakluk kepada proses pentadbiran dan peraturan perkhidmatan awam.
Katanya, keputusan berhubung perkara itu bergantung kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut prosedur ditetapkan.
“Saya rasa sebagai penjawat awam, beliau tetap akan bertugas sehinggalah diberitahu sebaliknya.
“Apa keputusan daripada KDN atau JPA, semuanya mengikut proses biasa penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Majistret Sepang, Rabu lalu.
Rosal Azimin berkata, Mohd Shuhaily sudah menyelesaikan urusan jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Menurutnya, anak guamnya berada dalam keadaan baik dan bersedia menghadapi proses perundangan yang sedang berlangsung.
Katanya, Mohd Shuhaily menerima situasi dihadapinya ketika ini dengan terbuka dan tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung pertuduhan berkenaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan perjalanan kes memandangkan prosiding mahkamah masih berlangsung.
Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.-SAHIH
#MohdShuhaily #AKPS #MahkamahSepang #KDN
