Ketua Pengarah AKPS mengaku tidak bersalah cederakan dua anggota polis
Ketua Pengarah AKPS mengaku tidak bersalah cederakan dua anggota polis
SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Rabu lalu, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani dan memohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA, pada 28 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di lokasi dan pada masa sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Majistret turut menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Terdahulu, Mohd Shuhaily pada sidang media sebelum prosiding berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menjalankan proses perundangan berhubung pertuduhan terhadapnya.
Katanya, beliau menghormati proses undang-undang dan akan memberikan kerjasama sepanjang prosiding berlangsung.
“Hari ini adalah proses untuk saya menjalani satu proses perundangan seperti yang saya sebut sebelum ini berhubung kes saya.
“Saya akan menyerahkan kepada mahkamah untuk menjalankan proses perundangan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan sokongan kepadanya sepanjang berdepan kes berkenaan.-SAHIH
#AKPS #MohdShuhaily #MahkamahSepang #KLIA
