Kaunter Percukaian Khas Warga Asing HASiL Dibuka 1 Mei Ini
Kaunter Percukaian Khas Warga Asing HASiL Dibuka 1 Mei Ini
KUALA LUMPUR – Dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pembayar cukai asing, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengumumkan pembukaan rasmi Kaunter Perkhidmatan HASiL Cawangan Pembayar Cukai Asing (CPCA) bermula 1 Mei 2025.
Kaunter khas ini akan beroperasi di Tingkat 9, Blok 10, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dan bakal menjadi pusat rujukan utama bagi urusan percukaian melibatkan warga asing, individu tidak bermastautin serta cukai pegangan.
Menurut kenyataan rasmi HASiL, CPCA diwujudkan bagi menangani urusan percukaian fail pembayar cukai asing yang telah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025. Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien serta mudah diakses.
Waktu operasi kaunter adalah dari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala perkhidmatan e-Janji Temu pula dibuka hingga jam 4.40 petang, bergantung kepada kekosongan slot. Pelanggan boleh membuat temu janji melalui pautan https://ejanjitemu.hasil.gov.my.
“Pembukaan kaunter ini dijangka memberi nilai tambah positif dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dalam menyelesaikan urusan percukaian mereka,” kata HASiL dalam kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 (dalam negara) atau 603-8911 1000 (luar negara), melalui perkhidmatan Live Chat HASiL, atau isi borang maklum balas di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.
Kaunter CPCA ini dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memudahkan lagi urusan percukaian warga asing di negara ini.-SAHIH