DATUK SERI DR ABDUL FATTAH DILANTIK PROFESOR ADJUNG DI UUM
DATUK SERI DR FATTAH DILANTIK PROFESOR ADJUNG DI UUM
SELANGOR – Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Pejabat Presiden Angkasa di sini.
Surat lantikan tersebut diserahkan oleh Dekan Pengurusan Perniagaan UUM, Prof Madya Dr Syuhymee Ahmad sebagai tanda pengiktirafan kepada sumbangan besar beliau dalam bidang kepimpinan dan pembangunan koperasi di negara ini.
Beliau yang tampil segak berbaju merah lengkap bersampin menerima surat berkenaan dengan penuh rasa syukur dan rendah hati. Turut hadir dalam majlis itu ialah beberapa pegawai kanan Angkasa dan UUM.
“Saya menganggap pelantikan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada pembangunan ilmu serta koperasi di peringkat nasional,” katanya ringkas ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Datuk Seri Abdul Fattah yang cukup dikenali dalam kalangan warga koperasi negara sebelum ini aktif memberi ceramah, menyertai forum serta menyumbang kepakaran dalam pelbagai program pembangunan ekonomi rakyat.
Pelantikan sebagai Profesor Adjung ini juga diyakini mampu membuka ruang kolaborasi lebih luas antara institusi pendidikan tinggi dan sektor koperasi dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap keusahawanan dan ekonomi komuniti.
Dalam pada itu, pihak UUM turut merakamkan penghargaan kepada beliau atas kesediaan menerima tanggungjawab itu yang disifatkan sebagai satu aset penting kepada universiti dalam memperkukuh jaringan industri dan akademik.
Majlis berkenaan turut disiarkan secara langsung di platform media sosial dan mendapat perhatian ramai warganet yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah atas pencapaian tersebut.-SAHIH