Warga Emas Maut Nahas Dua Kenderaan di Lanchang
Warga Emas Maut Nahas Dua Kenderaan di Lanchang
TEMERLOH – Seorang pemandu teksi warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 151 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, berhampiran Stesen Minyak BHP Sungai Kepong, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 petang itu, mangsa, seorang lelaki Melayu berusia 72 tahun dari Kampung Punjong, Lanchang, yang memandu sebuah teksi jenis Nissan, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan mangsa sebelum bertembung secara berdepan.
“Kemalangan berlaku di jalan lurus tiga lorong dua hala dengan dua lorong menghala ke Kuala Lumpur dan satu lorong ke Kuantan. Ketika kejadian, permukaan jalan kering dan tahap pencahayaan adalah baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pemandu Toyota Harrier, Tan Kui King, 67, dari Taman Sempalit, Mentakab turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Temerloh dan bedah siasat.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.-SAHIH