AKSI BERANI MATI TULAR DI TIKTOK: POLIS TEMERLOH BUKA KERTAS SIASATAN
AKSI BERANI MATI TULAR DI TIKTOK: POLIS TEMERLOH BUKA KERTAS SIASATAN
TEMERLOH – Satu video memaparkan aksi seorang lelaki yang didakwa menahan kenderaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan motosikal haram di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) tular di TikTok, mengundang perhatian pihak polis yang kini giat menjalankan siasatan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pihaknya menerima laporan pada 14 April 2025 kira-kira jam 6.53 petang selepas video berdurasi satu minit lima saat itu dimuat naik di akaun TikTok @utusantvofficial dan menjadi viral.
Video berkenaan dipercayai dirakam pada 12 April lalu sekitar jam 4.52 pagi dan memaparkan kelakuan berbahaya seorang individu yang menahan lalu lintas di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada sekumpulan motosikal dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di satu kawasan jalan lurus dan berpermukaan rata dengan pencahayaan yang suram pada waktu malam.
Bagaimanapun, identiti suspek serta kenderaan yang terlibat masih belum dapat dipastikan kerana rakaman video tidak jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan.
“Usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan individu dalam video berkenaan, termasuk nombor pendaftaran motosikal yang terlibat serta saksi-saksi di lokasi kejadian,” katanya sambil menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
Dalam perkembangan berasingan, dua lelaki Melayu berusia 38 dan 18 tahun turut ditahan polis kerana dipercayai memukul seekor anjing dalam kejadian yang turut tular di media sosial.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret pada 15 April untuk permohonan reman. Siasatan akan diteruskan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” tambahnya.-SAHIH