Lebih 100 Koperasi Kariah Masjid Disasar Ditubuhkan di Pahang Tahun Ini
Lebih 100 Koperasi Kariah Masjid Disasar Ditubuhkan di Pahang Tahun Ini
KUANTAN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan penubuhan lebih 100 koperasi kariah masjid di negeri Pahang menjelang hujung tahun ini.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 60 koperasi telah aktif di negeri itu, dan jumlahnya dijangka meningkat dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
“JAIP telah mengarahkan kadi daerah di seluruh Pahang untuk membantu usaha ini. Dengan sokongan mereka, saya yakin sasaran 100 koperasi dapat dicapai tanpa masalah,” katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Angkasa dan Koperasi Kariah Masjid Lama Permatang Badak di sini, semalam.
Menurutnya, masih banyak masjid yang belum menubuhkan koperasi kerana kurangnya pemahaman terhadap manfaat yang boleh diperoleh.
“Ada pihak beranggapan koperasi akan menambah beban tugas kepada pentadbiran masjid. Namun, hakikatnya ia boleh menjadi sumber ekonomi baharu kepada kariah dan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Angkasa dan SKM akan mempergiatkan kempen kesedaran bagi menerangkan peranan serta faedah koperasi kariah masjid.
Dalam pada itu, Abdul Fattah turut menyatakan harapan agar sekurang-kurangnya 1,000 koperasi kariah masjid dapat ditubuhkan di seluruh negara dalam masa terdekat.
“Daripada lebih 6,000 masjid dan surau di Malaysia, hanya 577 yang mempunyai koperasi sendiri. Angkasa akan terus berusaha memperluaskan inisiatif ini bukan sahaja di Pahang, tetapi di seluruh negara,” katanya.-SAHIH