Tragedi Ramadan: Remaja Maut Dalam Nahas Dua Motosikal
Tragedi Ramadan: Remaja Maut Dalam Nahas Dua Motosikal
MARAN – Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 32, Jalan Maran – Jerantut, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.42 petang apabila motosikal Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang remaja berusia 14 tahun dari arah Sungai Jerik hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal tersebut bertembung secara berdepan dengan Yamaha Y15ZR yang ditunggang Muhammad Firdaus Ramli, 17, yang dalam perjalanan dari Bandar Jengka ke Sungai Jerik,” katanya.
Akibat perlanggaran itu, Muhammad Firdaus mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan.
Sementara itu, penunggang Yamaha Ego Avantiz turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temerloh bagi mendapatkan rawatan.
“Kedua-dua motosikal mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, termasuk coverset dan cermin sisi pecah,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH