Pelajar OKU Ditemui Lemas, Saksi Dipanggil Polis
Pelajar OKU Ditemui Lemas, Saksi Dipanggil Polis
JERANTUT – Seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lembam ditemukan lemas di Sungai Siam, Felda Kota Gelanggi 3, pada jam 11.55 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, mangsa, Muhammad Amir Mursyid Shamli, 16, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar dan dipercayai lemas ketika mandi bersama dua rakannya pada Jumaat sekitar jam 1.30 tengah hari.
Menurut Zukri, bapa saudara mangsa mengambilnya dari asrama sekolah untuk pulang ke rumah di Felda Kota Gelanggi 1 pada jam 12.30 tengah hari.
“Setiba di rumah, mangsa dikatakan keluar semula untuk menunaikan solat Jumaat di masjid kawasan Felda berkenaan. Namun, selepas itu, dia tidak pulang dan keluarganya tidak menyedari kehilangan mangsa,” katanya.
Hasil siasatan mendapati, dua rakannya melihat mangsa dalam keadaan lemas ketika mandi di sungai tetapi tidak berani membantu kerana bimbang turut tenggelam.
“Ketika kejadian, kedua-dua rakan mangsa panik dan terus meninggalkan lokasi tanpa memaklumkan kepada sesiapa,” katanya.
Semua saksi telah dipanggil ke Balai Polis Jerantut untuk rakaman percakapan, dan siasatan masih diteruskan.-SAHIH