TEMERLOH SENARAIKAN 50 LOKASI TARIKAN PELANCONG
TEMERLOH SENARAIKAN 50 LOKASI TARIKAN PELANCONG
TEMERLOH,- Persatuan Pengusaha Pelancongan Temerloh (3PT) giat memperkasa sektor pelancongan dengan menyenaraikan lebih 50 lokasi wajib singgah sejak November tahun lalu. Pengerusinya, Abdullah Ahmad Mahmud berkata, berdasarkan data Jawatankuasa Usahawan Daerah, seramai 1,080 usahawan dikenal pasti di daerah itu dengan sebahagiannya terlibat secara langsung dalam industri pelancongan.
“Kami melihat potensi besar dalam produk usahawan ini yang boleh dijadikan tarikan pelancong termasuk pelancongan makanan, ekopelancongan dan pertanian. Dengan sokongan kerajaan, industri ini boleh berkembang lebih sistematik dan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, persatuan itu mendapat sokongan pelbagai jabatan negeri dan daerah, khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh yang telah mengadakan enam sesi pertemuan sejak tahun lalu bersama usahawan, agensi kerajaan dan pemain industri.
Antara langkah yang diambil termasuk lawatan serta penilaian awal di beberapa lokasi strategik sebelum membangunkan sembilan pakej pelancongan tersusun yang merangkumi tiga zon utama, iaitu Temerloh, Kuala Krau dan Lanchang.
Sementara itu, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal bin Ramli yang juga Penasihat 3PT berkata, penglibatan lebih ramai pengusaha dalam pelancongan akan membuka peluang baharu kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Abdullah turut menggesa pengusaha produk pelancongan untuk mendaftarkan nama mereka dengan persatuan bagi memanfaatkan pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan.
Menurut data Tourism Pahang, kedatangan pelancong ke Temerloh terus meningkat dengan 228,946 pelancong direkodkan sehingga September 2024, menempatkan Temerloh di tangga keempat dalam negeri selepas Genting Highlands, Kuantan dan Cameron Highlands.
Jumlah ini dijangka melebihi 300,000 menjelang hujung tahun, mengatasi rekod tertinggi sebelum pandemik pada 2019.
“Kami optimis usaha ini akan menjadikan Temerloh sebagai destinasi utama pelancongan di Malaysia,” katanya.-SAHIH