Mini karnival alam sekitar didik masyarakat sayangi bumi
Mini karnival alam sekitar didik masyarakat sayangi bumi
BENTONG – Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu dijadikan tanggungjawab semua pihak.
Justeru itu, program berkaitan alam sekitar harus diperbanyakkan.
Ini kerana tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar masih di tahap sederhana.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata inisiatif kerajaan Pahang melalui penganjuran mini karnival alam sekitar adalah bukti jelas tahap keprihatinan kerajaan negeri.
“Program bertemakan ‘cintai alam sekitar’ dilaksanakan Majlis Perbandaran Bentong adalah inisiatif yang bagus.
“Kesungguhan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak dan pasukannya sangat mengagumkan.
“Mini karnival ini menekankan kepentingan memelihara alam sekitar serta memperkasakan semua sumber asli antaranya sungai dan hutan yang dapat membantu sosio kehidupan masyarakat Bentong,” katanya
Amizar berharap mini karnival itu diteruskan pada masa akan datang.
Katanya, kerajaan Pahang akan membantu dalam menjayakan program serupa di lokasi lain selepas ini. – SAHIH