Gangguan sistem bayaran hasil sedang diatasi
Gangguan sistem bayaran hasil sedang diatasi
KUANTAN – Masalah teknikal dikenal pasti sebagai punca kelewatan pembayaran hasil kepada peneroka FELDA.
Bagaimanapun perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan ibu pejabat FELDA untuk diatasi segera.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam memaklumkan, antara warga peneroka yang terbabit dalam kelewatan penerimaan bayaran hasil adalah dari Wilayah Jengka dan beberapa kawasan lain di Pahang.
“Pihak saya sudah menghubungi pihak pengurusan FELDA dan memohon agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Ini adalah bagi memastikan warga peneroka dan pentadbir dapat menjalankan aktiviti seharian seperti biasa,” katanya.
Amizar turut berharap kumpulan peneroka yang masih belum menerima bayaran hasil mereka untuk bersabar dan menghubungi pihak pengurus tanah rancangan masing-masing bagi mendapat maklumat terkini mengenai status pembayaran.
“Saya harap isu seperti masalah sistem atau teknikal ini dapat segera diatasi demi kesejahteraan warga peneroka FELDA,” katanya. – SAHIH