Tak adil ambil tindakan bila kemudahan belum lengkap
Tak adil ambil tindakan bila kemudahan belum lengkap
LIPIS – Kerajaan Pahang belum berhasrat mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya berpandangan adalah tidak adil mengenakan tindakan sedangkan kerajaan tidak menyediakan kemudahan sepatutnya, termasuk hentian rawat dan rehat (R&R).
“Kalau kita sediakan kemudahan dan mereka tidak patuh maka boleh kita kenakan tindakan.
”Tetapi ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang nak terkencing sebab menempuh perjalanan jauh, macam mana hendak buat.. dan mereka tidak ada pilihan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, hari ini.
Wan Rosdy berkata, masalah sampah sarap memenuhi laluan LTU setiap kali musim perayaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu R&R siap – yang akan mengambil sedikit masa.
Katanya, isu itu juga telah dibangkitkan kepada Kementerian Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia dan yakin ianya dalam proses tindakan.– SAHIH