PAS pertikai sumbangan Tok Wan kepada rakyat
PAS pertikai sumbangan Tok Wan kepada rakyat
JERANTUT: Kelulusan enam projek pembangunan di Felda Jengka 24 di sini tidak wajar dipolitikkan kerana sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyelesaikan isu-isu setempat yang dihadapi rakyat.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, ia juga membuktikan kemampuan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan demi keselesaan penduduk.
“Kami terkejut apabila terdapat seorang pimpinan politik mewakili parti pembangkang di negeri ini mempertikai keputusan Menteri Besar meluluskan enam permohonan oleh penduduk di tanah rancangan ini.
“Kenapa soal itu pun hendak dipolitikkan? Ia isu rakyat yang dihadapi penduduk. Jika bukan kerajaan negeri yang meluluskannya, siapa lagi? Adakah pemimpin politik itu mahu berbuat demikian?
“Usahlah hanya berpolitik sepanjang masa, apa diluluskan itu bukti Menteri Besar prihatin dengan keperluan penduduk kerana kemampuan kerajaan negeri apabila memperoleh hasil melebihi RM1 bilion dua tahun berturut-turut,” katanya di sini.
Jumaat lalu, Wan Rosdy pada majlis penyampaian suratan hak milik tanah di Felda Jengka 24 meluluskan permohonan membabitkan pembinaan jambatan baru, naik taraf tandas masjid, dewan terbuka, penukaran bumbung sekolah agama, padang bola dan penambahbaikan literasi dengan kos kira-kira RM1 juta.
Susulan itu, Sabtu lalu, sebuah portal berita melaporkan bahawa, Pas negeri ini mengecam kenyataan Wan Rosdy yang menggunakan permohonan peruntukan sebagai “senjata” untuk mendapatkan sokongan politik, dalam satu acara di Jerantut di sini.
Bendahari Pas Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd. Halim dilaporkan sebagai berkata, tindakan Wan Rosdy itu sebagai salah guna kuasa dan rasuah politik.
Mengulas lanjut, Razak berkata, suara sumbang Bendahari Pas Pahang dianggap sebagai ‘escapism’ atau cuba melepaskan diri daripada masalah dihadapi terutama kegagalan menunaikan janji.
“Rakyat boleh juga mempertikaikan apakah sumbangan pemimpin di kawasan masing-masing membantu rakyat sebagai wakil rakyat.
“Alasan tiada peruntukan kerana bukan kerajaan tidak wajar dijadikan alasan kerana tanggungjawab mereka sebagai mana ikrar membela rakyat malah ada yang menjanjikan bulan bintang dan syurga,” katanya.
Razak turut mempertikaikan apakah sumbangan pembangunan dan kebajikan yang sudah dibuat Shahril Azman di kawasan Jengka sebagai wakil rakyat sejak dua penggal.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah berkata, pendekatan Wan Rosdy membantu rakyat dalam pelbagai insentif termasuk bayi baharu dilahirkan membuktikan keikhlasannya selari slogan, tiada janji, lihat bukti.
Katanya, Pas Pahang perlu membuktikan parti itu dapat membantu pengundi di kawasan masing-masing bagi mengelakkan penyokong mereka terpaksa meraih simpati kerajaan negeri.
“Semua projek pembangunan yang diluluskan kerajaan Pahang diguna sama oleh semua rakyat tanpa mengira pegangan aliran politik. Sebagai contoh, kelulusan membaik pulih masjid, sekolah agama, padang bola dan lain-lain manfaatkan untuk semua rakyat,” katanya.-SAHIH