Stadium Darul Makmur berwajah baharu sambut Jubli Emas 25 November
Stadium Darul Makmur berwajah baharu sambut Jubli Emas 25 November
RAUB – Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) bakal berwajah baharu menjelang sambutan Jubli Emas pada 25 November ini selepas kerja membaikpulih bernilai RM1.4 juta siap dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatan Kuasa Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, Stadium Darul Makmur yang berusia 50 tahun menjadi bangunan ikonik Bandar Raya Kuantan dan kebanggaan bagi penduduk negeri yang menjadi stadium pelbagai kegiatan sukan dan sosial.
“Kerja membaikpulih stadium tersebut bermula pada bulan Ogos tahun ini melibatkan kemudahan tandas, surau, kerja mengecat di luar stadium dan projek landskap di sekitar stadium tersebut
“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta membolehkan kerja membaikpulih serta landskap siap sebelum sambutan Jubli Emas,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Landskap (Halaman Cantik) di Dewan Jubilee Raub di sini semalam.
Katanya, kerajaan negeri juga bersedia menerima cadangan membaikpulih kemudahan di stadium tersebut dari semasa ke semasa berasaskan permohonan yang dibuat oleh pihak pengurusan PSDM pada masa akan datang.
“Stadium Darul Makmur akan menjadi venue kejohanan bola sepak dan sukan antarabangsa antara sebahagian usaha kerajaan negeri menarik ramai pengunjung ke sini,” katanya.
“Sempena perayaan Jubli Emas ini, saya akan membentangkan beberapa aktiviti sukan dan sosial peringkat negeri termasuk melibatkan penyertaan wakil dan pasukan antarabangsa.-SAHIH.