SKRP jadikan lukisan mural media pembelajaran
Foto atas : Seorang guru Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor menerangkan sesuatu kepada muridnya mengenai mural Perdana Menteri Malaysia.
SKRP jadikan lukisan mural media pembelajaran
KLANG – Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, menjalankan konsep pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan bagi murid.
Langkah itu juga selaras PLBD untuk menjadi suatu program atau aktiviti luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur. Aktiviti itu berpusatkan murid dan bertujuan untuk menyokong serta mengukuhkan pelaksanaan kurikulum sekolah yang merangkumi persekitaran pembelajaran progresif.
Guru Besar SKRP, Hazi Kadir, berkata bagi mencapai matlamat itu pihak sekolah melukis sebelas lukisan mural bersaiz besar untuk menarik perhatian murid dalam mata pelajaran Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Sejarah, Moral dan Pendidikan Jasmani.
“Sebagai contoh, dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Prestasi (DSKP) pembelajaran sejarah tahun empat, dilukiskan mural gambar wajah sepuluh Perdana Menteri yang pernah dilantik di Malaysia.
“Semasa sesi pembelajaran guru akan membawa murid kelas mereka untuk melihat lukisan mural Perdana Menteri berkenaan untuk menerangkan atau berbincang mengenai peranan tokoh pemimpin utama negara itu,” katanya.
Katanya, pembelajaran ini akan berlangsung dalam suasana santai apabila murid berada luar bilik darjah dan sudah pasti melahirkan keseronokan kepada mereka untuk belajar.
“Selain itu lukisan mural ini yang hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk disiapkan menjadi konsep dua dalam satu sebagai sumber pembelajaran dan menceriakan sekolah.
“Lukisan mural SKRP itu adalah hasil lukisan dua pelukis profesional iaitu Akhmal Asraf dan Mohamad Syafiq, mereka memang pelukis sepenuh masa dan hasil kerja amat berkualiti serta memang cantik,” katanya.
Hazi berkata, lukisan mural mereka itu dilukiskan pada dinding utama SKRP serta sudut yang berkaitan tempat pembelajaran.
“Mereka menggunakan cat yang berkualiti tinggi supaya boleh bertahan lama serta tahan pada cuaca, lukisan mural itu juga amat menarik kerana banyak menerapkan nilai ilmu, sebagai contoh memupuk minat murid kepada melukis serta bercita-cita menjadi pelukis.
“Selain itu, lukisan mural itu turut dilukis pada dinding makmal sains, bilik RBT dan sebagainya iaitu lokasi yang memang menjadi tumpuan utama dan dapat dilihat dari jalan besar,” katanya.
Katanya, di samping itu turut mendapat reaksi amat baik daripada ibu bapa serta pelawat apabila mereka berasa sangat teruja selain menjadi tempat mereka berswafoto ketika masuk ke kawasan sekolah.-SAHIH.