Amizar dapat suntikan semangat ‘Long Nan’
Amizar dapat suntikan semangat ‘Long Nan’
BENTONG – Calon BN Datuk Amizar Abu Adam bersemangat dengan kehadiran bekas menteri besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang turun membantu kempennya di PRK Pelangai.
Katanya, kehadiran Adnan yang juga dikenali sebagai ‘Long Nan’ oleh masyarakat Pelangai sememangnya dinantikan.
“Saya sangat terharu, sangat bersyukur.
“Kita panggil itu sebagai ‘sifu’, tuan guru kita Tan Sri Adnan Yaakob.
“Di Pelangai ini orang panggil Long Nan. (Terima kasih) kerana sudi turun… sangat-sangat menaikkan semangat saya,” katanya ketika ditemui di FELDA Kemasul, dekat sini, hari ini.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.
Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Ditanya mengenai mood pengundi setakat ini, Amizar berkata beliau positif dengan sokongan yang ditunjukkan orang ramai.- SAHIH