UPNP serbu kawasan penerokaan tanah haram, rampas jengkaut di Raub
Foto atas : Sebuah jentera jengkaut dirampas oleh pihak UPNP dalam serbuah di Raub.
UPNP serbu kawasan penerokaan tanah haram, rampas jengkaut di Raub
RAUB : Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat telah melakukan serbuan di kawasan yang dipercayai menjalankan aktiviti pembukaan tanah secara haram di atas tanah kerajaan di Raub.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anggota UPNP Zon Pahang Barat telah melakukan rondaan penguatkuasaan sekitar daerah Raub kira-kira jam 3.30 petang semalam.
“Saya dimaklumkan UPNP tibanya di Sungai Rambai mendapati sebuah jentera jengkaut sedang melakukan kerja-kerja membersihkan sekitar kawasan tersebut.
“Anggota operasi telah bertindak menahan jengkaut tersebut, namun pemandu jengkaut itu sempat melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota UPNP,” katanya melalui laman Facebooknya.
Katanya, seorang lelaki telah tampil dan memperkenalkan diri sebagai pemilik jengkaut dan pegawai UPNP memohon pemilik jengkaut tersebut memberi dokumen kelulusan atau permit berkenaan aktiviti yang dilakukan namun gagal.
“Anggota UPNP bertindak merampas jentera tersebut untuk tujuan siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.
“Saya ingin maklumkan kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di mana-mana kawasan di negeri ini dan memohon UPNP untuk terus membenteras aktiviti ini dengan lebih tegas,” katanya.-SAHIH.