Perlekeh Sultan Selangor: PKR Shah Alam lapor polis terhadap Sanusi
Perlekeh Sultan Selangor: PKR Shah Alam lapor polis terhadap Sanusi
SHAH ALAM – PKR Shah Alam hari ini membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina dan memperlekehkan Sultan Selangor.
Ucapan Muhammad Sanusi yang didakwa memperlekeh pertimbangan Sultan Selangor dalam urusan pelantikan Menteri Besar Selangor, kini tular di pelbagai platform media sosial.
Ketua Penerangan PKR Shah Alam, Suryamuizzudin Kamarudin berkata, pentas ceramah politik tidak seharusnya menjadi saluran untuk menghambur serangan, penghinaan dan pelecehan terhadap institusi diraja termasuklah sultan.
Katanya, ucapan Muhammad Sanusi itu secara terang bersifat menghina Sultan Selangor dan tidak dapat diterima oleh rakyat negeri itu yang kasih dan menghormati institusi diraja.
“Justeru, Keadilan Shah Alam menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Muhammad Sanusi.
“Ini kerana saban hari beliau menjadikan pentas ceramah Perikatan Nasional (PN) untuk menghambur penghinaan terhadap pimpinan negara serta menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat menerusi kenyataan bersifat perkauman dan menunggang ajaran Islam.
Katanya, Keadilan Shah Alam juga mendukung pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam menangani kelompok-kelompok bejat yang menggunakan isu-isu 3R membabitkan institusi diraja, kaum dan agama untuk mencapai tujuan politik sempit mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap pendirian tegas kerajaan perpaduan ini dapat diterjemah dalam bentuk tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang tuntas dan bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir.
“Negara ini tidak boleh dibiarkan musnah dek kerana politik perpecahan yang cuba dianjurkan oleh pemimpin PN,” katanya.
Terdahulu dalam satu rakaman yang tular, Muhammad Sanusi seolah-olah menyentuh perkenan Sultan Selangor terhadap pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar.
Beliau menyebut: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia macam Amir.
Sumber : Asamboi.net
Semakan menunjukkan perkataan cokia tiada dalam kamus dewan sebaliknya ungkapan slanga yang digunakan dalam percakapan harian bagi merendah-rendah sesuatu barangan atau individu.
Sumber : Asamboi.net