Jalan baharu Solok Ayer Limau – Kampung Jeram singkatkan masa perjalanan
Jalan baharu Solok Ayer Limau – Kampung Jeram singkatkan masa perjalanan
MELAKA – Projek pembinaan jalan baharu dari Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram, Masjid Tanah, Alor Gajah bakal memendekkan masa pejalanan selama 15 minit dan dijangka siap tahun hadapan.
Timbalan Menteri Jerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebelum ini perjalanan laluan itu mengambil masa kira-kira 30 minit.
Katanya, projekini dijangka dapat disiapkan 50 hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya, menariknya jajaran jalan ini hanya melibatkan kawasan pertanian dan tidak melibatkan kawasan ataupun tanah penempatan penduduk.
“Kawasan yang terlibat dengan projek ini merupakan kawasan pertanian dan kebanyakan penduduk terlibat adalah dalam sektor perladangan dan pertanian.
“Kita berhasrat akan mempertingkatkan kemudahan pengangkutan dan menyediakan rangkaian jalan raya terutamanya bagi menyuraikan kesesakan di kawasan pusat bandar dan menjimatkan masa dari Kampung Jeram ke Alor Gajah sebanyak 15 minit,” katanya.
Abdul Rahman berkata, ianya bertujuan memberikan kemudahan para petani membawa hasil pertanian dan juga pelancong menuju ke destinasi dengan mudah dan meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat.
“Selain itu, projek jalan ini boleh dijadikan sebagai jalan alternatif kepada pengguna jalan raya ke pekan berhampiran dengan lebih mudah dan lancar,’ katanya.-SAHIH.