LTU Pakej 5B dan 5A siap, pengguna tidak perlu lalu bandar Raub
LTU Pakej 5B dan 5A siap, pengguna tidak perlu lalu bandar Raub
RAUB – Pengguna laluan jalan raya dari ibukota menghala ke Kota Bharu, Kelantan tidak perlu lagi melalui bandar Raub dengan jarak perjalanan melebihi 30 km dan mengambil masa lebih 45 minit.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, siapnya Lebuhraya Tengah Utama (LTU) atau CSR Pakej 5B dan Pakej 5A (Persimpangan Krau), ia akan memendekkan perjalanan ini.
“Bermula dari Simpang Keruntung ke Simpang Krau dengan jarak perjalanan hanya 18.6 km yang mengambil masa 15 minit sahaja.
“Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyegerakan pembukaan yang sepatutnya siap pada Disember 2023.
Katanya, Alhamdulillah berkat kerja keras semua pihak, jalan ini dapat disiapkan dan boleh dilalui sebelum hari raya Aidil Adha tahun ini.
“Persiapan terakhir sedang dilakukan sebelum pembukaan jalan Persimpangan Krau (Raub) sempena sambutan hari raya Aidil Adha.
“Kepada semua pengguna LTU yang akan balik kampung ke Pantai Timur diharap menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin dan menjaga keselamatan masing-masing,” katanya. – SAHIH.