Guru dalam perjalanan ke sekolah maut dalam kemalangan di KM2, Jalan Temerloh-Jerantut
Guru dalam perjalanan ke sekolah maut dalam kemalangan di KM2, Jalan Temerloh-Jerantut
TEMERLOH : Seorang guru lelaki yang dalam perjalanan ke sekolahnya maut dalam kemalangan jalan raya di KM 2, Jalan Temerloh – Mentakab dekat sini pada jam 6.40 pagi ini.
Guru tersebut yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Jerantut , Ganasan A/L Ramasami berusia 44 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Viva ke sekolah yang terletak kira-kira 60 kilometer dari sini telah dilanggar sebuah lori balak dalam kemalangan itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Roslee Omar berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Viva dari arah Mentakab menghala ke Jerantut dan apabila tiba di tempat kejadian , sebuah lori yang telah keluar dari simpang Taman Sri Semantan telah melanggar kereta tersebut yang sedang bergerak lurus.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu yang beralamat di Taman Saga Damai , Mentakab , maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pemandu lori berusia 58 tahun beralamat di Pekan, Pahang tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat dibawah Sek.41(1) APJ 1987,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dengan dua buah jentera berkejar ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
“Setiba di tempat kejadian, Pegawai Operasi BBP Temerloh, Khairul Azzahar Karim mengesahkan kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan, iaitu lori balak tanpa muatan dan sebuah kereta jenis Perodua Viva. Anggota bomba mengeluarkan pemandu kereta itu yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya -SAHIH.