Sang Riang Menang Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan
Sang Riang Menang Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan
KUANTAN – Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang menerima Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan pada persidangan antarabangsa kebudayaan, pelancongan dan pendidikan 2023 yang diadakan di ibu negara kelmarin.
Kejayaan itu dikongsi Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
“Tahniah kepada lapan pemegang anugerah pelancongan dari Pahang dan terima kasih kepada Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia – China,” katanya.
Selain Sang Riang, turut memenangi anugerah adalah Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pekan; Homestay Kampung Kuala Medang, Lipis dan Kuil Sri Marathandavar Aalayam, Maran.
Pada majlis sama Mossy Forest Cameron Highlands, Pulau Tioman dan Taman Negeri Rompin menerima anugerah kategori pelancongan hijau.
Sementara itu, pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, kejayaan diperoleh rumah kebajikan itu adalah satu pencapaian membanggakan semua pihak.
“Semuanya hasil kerjasama Jabatan Pelancongan Pahang dan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia-China.
“Ini juga menunjukkan usaha Sang Riang mewujudkan suasana harmoni dan kelestarian dalam pengurusan rumah kebajikan itu mendapat perhatian orang ramai,” katanya.
tamat-SAHIH