Masa Untuk Bina Semula Kekuatan Parti – Haris
Masa Untuk Bina Semula Kekuatan Parti – Haris
JERANTUT – Keputusan pemilihan UMNO peringkat Bahagian Jerantut yang berlangsung semalam menyaksikan bendahari UMNO Bahagian itu, Haris Salleh Hamzah dipilih sebagai ketua yang baharu.
Beliau yang juga peguam profesional berjaya mengatasi undian diterima tiga lagi calon lain – Ahmad Murad Mat Hassim @ Idris, Adzlan Zakaria dan Mohd Taufek Abdul Razak.
Haris Salleh berkata amanah diberikan kepadanya adalah satu tugas berat yang perlu digalas.
“Saya tidak mampu untuk memperkuatkan parti tanpa sokongan semua pihak dan saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk UMNO Jerantut.
“Dalam masa sama, saya menyeru semua pihak, khususnya yang bertanding agar dapat bersama-sama membina semula kekuatan parti,” katanya.
Haris turut mengingatkan semua pihak bahawa keutamaan parti adalah untuk memenangi pilihan raya umum ke-16 dan mengembalikan semula UMNO sebagai parti disukai rakyat.
“Dalam setiap pertandingan sudah tentulah ada yang menang dan ada yang kalah, sekarang masa untuk kita bergerak ke hadapan demi UMNO.
- HARIS SALEH HAMZAH -KETUA BAHAGIAN UMNO JERANTUT
“Kita perlu bersama-sama membina semula UMNO dan mengelakkan sebarang perselisihan yang akhirnya akan melemahkan parti yang kita sayangi ini,” katanya.
tamat-SAHIH