Ahmad Murad Mudah Didekati Semua Golongan
Ahmad Murad Mudah Didekati Semua Golongan
JERANTUT – Mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor korporat, calon Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Murad Mat Hassim @Idris mempunyai personaliti yang disenangi orang ramai.
Bukan sahaja senang didekati dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, Ahmad Murad juga pandai mencari peluang memenangi hati golongan muda.
“Semua ini adalah hasil pembabitan saya dalam bidang korporat dan bidang ini memerlukan saya bertemu dengan pelbagai jenis latar belakang orang.
“Jadi, saya tidak kekok untuk bergaul dengan siapa sahaja, sama ada baru pertama kali berjumpa atau sudah lama kenal.
“Memang saya lihat perkara ini sedikit sebanyak membantu saya mempersiapkan diri untuk menjadi ketua,” katanya.
Ahmad Murad sebelum ini memegang pelbagai jawatan penting dalam syarikat telekomunikasi terkenal di Malaysia.
Kemahirannya dalam sistem teknologi komunikasi memberi peluang kepadanya kini untuk mengetuai seksyen penyelarasan sistem 5G bagi negeri Pantai Timur Semenanjung.
“Semua pengalaman ini sangat membantu saya dan saya harap diberi peluang untuk membawa perubahan dalam UMNO Bahagian Jerantut.
“Saya sudah mulakan langkah pertama jadi saya pilih slogan #MohUbah sebagai tanda komitmen saya untuk membantu UMNO Jerantut melakukan perubahan secara total.
“Melalui perubahan ini jugalah kita dapat memperkukuhkan semula UMNO di Jerantut selain membantu UMNO Pahang menjadi dominan kembali,” katanya.-SAHIH