Mahathir dan 10 Ahli Pejuang tinggalkan parti
Mahathir dan 10 Ahli Pejuang tinggalkan parti
PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir mengumumkan keluar parti bersama beberapa ahli lain.
Hal itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 10 Februari (Jumaat) kepada Setiausaha Agung PEJUANG Datuk Amiruddin Hamzah, seperti yang dikongsi bekas timbalan presiden Datuk Marzuki Yahya di Facebook.
Marzuki berkata, keputusan itu didakwa dibuat berikutan kecewa dengan tindakan parti tersebut memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).
“Keputusan PEJUANG memutuskan hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami dari kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.
“Bagi kami, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip serta berpegang kepada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air,” menurut surat tersebut.
Selain itu, turut mengambil langkah sama adalah bekas ahli Majlis Eksekutif Pusat Armin Baniaz Pahamin dan bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan.
Pada 16 Disember lalu, Mahathir disahkan meletak jawatan sebagai pengerusi PEJUANG, beberapa minggu selepas prestasi buruk parti itu dan GTA dalam PRU15.
Pada 14 Januari lalu, Pejuang mengambil keputusan untuk keluar dari GTA.
Presidennya yang juga anak kepada Mahathir, Mukhriz berkata keputusan itu bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan Pejuang dan dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam perhimpunan agung parti.