Durian bola di Damak
Durian bola di Damak
Foto atas : Zulkifly Mahmud dan pembantunya menunjukkan durian bola
JERANTUT – Durian bola mula meluruh sejak minggu ini dan sangat popular di Kampung Damak dekat sini yang turut dikenali ramai sebagai kawasan pengeluaran durian terkenal dan berkualitil.
Pemborong durian, Ramli Mustapa (51) berkata, durian jenis ini sangat popular di kalangan penduduk di sekitar pekan Damak kerana rasanya sedap, bertekstur lembut dan isi tebal berwarna keemasan.
“Orang tempatan menggelarkan durian bola kerana bentuknya bulat seperti bola dan sebenarnya buah ini daripada spesis durian klon D18 dan berharga sekitar RM15 – RM18 sekilogram.
“Ini adalah kali kedua musim buah durian tahun ini (2022), kali pertama pada Jun lalu dan musim durian kali ini bermula awal Disember dan dijangka tamat pada hujung Januari 2023,” katanya ketika ditemui.
Rakannya, Zulkifly Mahmud, 56 tahun, berkata, durian jenis ini dianggarkan berat antara 1 kilogram (kg) hingga 3 kg dan ukur lilitnya kira-kira antara 50 sentimeter (sm) hingga 80 sm.
“Selain durian jenis, pekan Damak terkenal dengan pelbagai jenis durian yang dibekalkan oleh 12 orang pekebun durian sekitar Damak seperti D24, D10, IOI, D96 dan durian susu.
“Penggemar durian tempatan dan luar Pahang sangat menyukai durian kampung premium (DKP) jenis Damak King, Emas Hijau dan Tangkai Panjang kerana kelazatan dan isinya lembut dan tebal.
Katanya, harga durian kampung berharga RM6 sekilogram, durian kawin premium antara RM15-RM20 mengikut saiz, Tangkai Panjang dan Musang King (RM35).-SAHIH.