Banjir di Pahang hampir pulih, hanya 141 mangsa di PPS SK Mutiara, Pekan
Banjir di Pahang hampir pulih, hanya 141 mangsa di PPS SK Mutiara, Pekan
KUANTAN : Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mutiara, Pekan masih dibuka ekoran keadaan banjir di Pahang semakin pulih pada jam 8.00 pagi , hari ini.
PPS SK Sri Mutiara yang dibuka pada 12 Disember 2022 lalu dan menempatkan 141 orang daripada 36 keluarga masih kekal di PPS itu, bilangan mangsa yang ditempatkan di situ hari ini juga dilaporkan sama pada pukul 8 malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, di Bera, PPS SK Kerayong antara yang ditutup semalam apabila seramai sembilan orang daripada tiga keluarga telah pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir reda.
“Bagaimanapun, kedudukan paras air di Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia, daerah Rompin masih dilaporkan naik dan mencatat ketinggian 11.65 meter, iaitu amaran berbahaya.
“Dua batang sungai, iaitu Sungai Triang, Bera dan Sungai Pahang di Paloh Hinai kini mencatat amaran pertama, manakala enam lagi di Bera, Maran dan Kuantan di peringkat waspada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Che Adam, kebanyakan beberapa tempat di 11 buah daerah negeri ini dilaporkan masih hujan dan ribut petir bermula dari pagi, petang hingga malam.
“Bagaimanapun penduduk di pesisir Sungai Pahang dan anak sungai perlu berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih mengenai keadaan banjir daripada anggota APM yang bertugas dan pihak berkuasa beruniform lain mengenai perkembangan banjir setiap hari,”katanya.-SAHIH.