BN berjaya kekalkan DUN Tioman
BN berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
ROMPIN – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.
Nor Idayu mendapat 7, 507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.
Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang deposit. Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.
Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU15.
PRU15 DUN Tioman diadakan lewat susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Johari Hussain kerana memenangi kerusi DUN Tioman.
“Syabas tahniah kepada yang berhormat datuk seri johari dan saya yakin beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Tioman,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Johari turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera parti yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan beliau dalam pilihan raya kali ini.
“Dalam masa yang sama juga saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri khususnya di bawah seliaan dan pengurusan di bawah MB Pahang.
“Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan kerja kuat semua jentera jentera melibatkan jentera pusat, negeri dan bahagian di seluruh negeri Pahang,” katanya.-SAHIH.